Soalan:
Saya ada perselisihan faham dengan seorang kawan. Untuk tidak mahu memanjangkan masalah, saya memohon kemaafan atas dasar ingin menjalinkan semula persahabatan. Tapi kawan saya langsung tidak menunjukkan minat untuk berbaik semula.Adakah dosa saya memutuskan silaturrahim terhapus jika sikap saya telah memohon maaf, tapi tidak dipedulikannya?
Jawapan:
Sebagai seorang Islam, sewajarnyalah kita memohon kemaafan kepada seseorang jika kita telah melakukan kesalahan terhadapnya. Jika kita telah minta maaf terpulanglah kepada orang tersebut, apakah ia ingin memaafkannya atau sebaliknya, kerana selaku manusia kita tidak dapat terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Tapi jangan pula kita memutuskan tali silaturrahim lantaran sikapnya yang acuh tak acuh.
Memutuskan silaturrahim menyebabkan seseorang memperoleh hukuman dengan segera ketika berada di dunia lagi. Sebagaimana diterangkan dalam sebuah hadis daripada Abu Bakar ra. bahawa baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia, dan apa yang dipersiapkan Allah baginya di akhirat daripada tindakan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturrahim”.
(Hadith Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi)
Sesungguhnya tidak rugi jika kita sentiasa mempererat tali silaturrahim, kerana ia menyebabkan dilapangkan rezeki dan dipanjangkan umur. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia memelihara hubungan silaturrahim”.
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)